Wednesday, January 6, 2010

Kemenangan untuk Islam tidak semestinya bermakna kemenangan untuk "orang Islam"

Jika kita membaca isi kandungan al-Quran, kebanyakan ayat-ayat berbicara mengenai bagaimana manusia sepatutnya menjalani kehidupan di atas dunia ini. Ini termasuk pentingnya kita mencari ilmu pengetahuan, menggunakan akal yang Allah berikan, menjaga kebersihan, cara kelakuan kita terhadap ibu-bapa seperti tidak boleh meninggikan suara terhadap mereka, cara menjaga anak seperti berapa bulan anak sepatutnya disusukan oleh ibu, cara dan peraturan jika berlaku penceraian, pembahagian harta, amanah di dalam menjaga harta awam seperti harta anak yatim, conduct di dalam peperangan, memerintah secara musyawarah (consensus), hubungan kita dengan mereka yang berlainan agama, cara menjalankan perniagaan seperti sukatan dan timbangan yang sebenar, hukum riba, dan al-Quran juga memberitahu kita betapa bodohnya manusia yang percaya kepada perkara-perkara tahyul seperti meminta perlindungan dari jin dan sebagainya. Kisah kaum Arab menghiris telinga lembu kerana kepercayaan karut juga terdapat di dalam Quran. Kita juga diberitahu di dalam Quran mengenai sifat-sifat Allah seperti keesaannya serta tidak beranak dan diperanakkan.

Cara manusia menjalani kehidupan seperti yang digariskan dalam ayat-ayat Quran inilah yang dinamakan "al-Islam". Secara ringkasnya, cara hidup di atas ialah cara hidup yang dinamakan Islam. Al-Quran juga mengajar kita supaya mengambil "al-Islam" ini secara kesuluruhannya. Ini bermakna, jika seseorang itu menjaga kebersihan, jujur di dalam perniagaan tetapi ia percaya kepada kuasa pawang dan bomoh, ini bermakna manusia ini tidak mengambil Islam keseluruhannya. Kita hendaklah mencuba yang sedaya dan terbaik untuk mengambil Islam keseluruhannya - iaitu untuk menjadi seseorang yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, jujur di dalam perniagaan, tidak percaya kepada karut-marut dan tahyul serta tidak mensyirikkan Allah jika kita mahu mencapai kemenangan seperti yang dinyatakan oleh Allah di dalam Quran. Untuk setiap penyelewengan dari setiap satu elemen dalam ajaran Islam tadi, ia akan mendatangkan bentuk kemusnahan yang tersendiri. Contohnya, Allah memberitahu kita manusia yang mempunyai ilmu pengetahuan akan mendapat darjat yang tinggi di atas dunia ini. Jika kita tidak mementingkan ilmu, maka kita atau kaum atau masyarakat kita akan tewas di dalam perlumbaan antara manusia di atas dunia ini.

Jika kita menyeleweng dari segi kejujuran di dalam perniagaan atau melakukan riba (penindasan ekonomi), maka ia akan membawa kemusnahan di dalam bentuknya yang tersendiri. Begitulah juga dengan aspek-aspek lain seperti mendustai sifat-sifat Allah dan sebagainya. Semua ini akan memberi kebinasaan di dalam bentuknya yang tersendiri kepada kita. Kerana itulah Quran mengajar kita supaya mengambil keseluruhannya ajaran Islam ini. Perkara ini amat jelas dan mudah. Dua ribu tahun yang lampau, orang Arab sangat mementingkan ilmu pengetahuan sehingga diterjemahkan buku-buku daripada tamadun Greek. Para ilmuan dan cendikiawan tidak pernah putus-putus menyoal dan berdebat di dalam segenap perkara - daripada falsafah hidup, ilmu perubatan, muzik dan sebagainya. Mereka menjadi maju dan berjaya mencipta dan menjumpai pelbagai penemuan di dalam ilmu perubatan. Hasilnya, bermacam-macam buku (kitab) terhasil mengenai ilmu perubatan, nota muzik dan sebagainya. Pada waktu ini, di Eropah penduduknya percaya kepada jampi serapah para paderi mereka dan masih tinggal di dalam gua. Apabila umat Islam mula menjadi leka dan pelbagai aliran agama muncul, Eropah pula mengambil buku-buku dari umat Islam ini untuk dikaji dan diterjemah. Tidak lama kemudian, keadaan sebaliknya pula berlaku. Penduduk Eropah mula membuang kepercayaan tahyul dan karut mereka dan mementingkan ilmu pengetahuan.

Janji Allah di dalam Quran tetap akan berlaku. Sesiapa sahaja, tidak kira mana-mana kaum pasti akan mendapat kemenangan jika ia mengambil mana-mana aspek dalam ajaran Islam untuk kehidupannya. Jika kita mengambil hanya satu aspek, kita akan mencapai kemenangan kecil di dalam aspek tersebut sahaja. Jika aspek tersebut hanya berkaitan dengan kehidupan di atas dunia sahaja, maka kita akan mendapat kemenangan di atas dunia sahaja. Jika kita mahukan kemenangan di dunia dan akhirat, maka kita dikehendaki mengambil semua aspek-aspek dalam ajaran Islam yang diajar di dalam Quran. Kerana itulah Rasulullah (saw) memberitahu, "Jika mahukan kemenangan di dunia, ambillah Quran. Jika mahu kemenangan di akhirat, ambillah Quran. Jika mahu kemenangan di dunia dan akhirat, ambillah Quran".

Pada hari ini, umat Islam sedang menanti-nantikan kemenangan untuk mereka. Di manakah kemenangan untuk kita sedangkan kita "orang Islam". Allah menjanjikan kemenangan untuk Islam, tetapi sudah seribu tahun kita orang Islam tewas dan ketinggalan di dalam segenap bidang. Mungkinkah kemenangan kita di dalam bentuk kerohanian dan akhlak? Tetapi kita juga tewas di dalam bidang ini. Buta huruf paling tinggi di dalam negara-negara Islam. Rasuah pun paling tinggi, pencabulan hak asasi manusia, kezaliman pun tinggi.

Al-Quran menerangkan kepada kita kesemua aspek-aspek dalam ajaran Islam dan kita disarankan menganuti keseluruhannya jika mahu mencapai kemenangan di dunia dan akhirat. Kita tidak mementingkan ilmu pengetahuan dan lebih berminat untuk percaya kepada bomoh, takut disantau, membeli kayu kokka, kita tidak menjaga kebersihan, kita juga tidak amanah di dalam urusan perniagaan dan kita juga melanggar aspek-aspek lain dalam ajaran Islam... tetapi kita sedang menanti kemenangan untuk "orang Islam". Cuba bayangkan, ramai orang Islam percaya bahawa kemenangan pasti akan muncul juga untuk mereka sebagai "orang Islam" kerana ini sudah dijanjikan oleh Allah di dalam Quran. Mereka percaya, walaupun kaum lain lebih mementingkan ilmu pengetahuan, kaum lain lebih beradab dan bertamadun, kaum lain memerintah secara musyawarah seperti ajaran Quran, tetapi kemenangan tetap untuk mereka juga kerana mereka "orang Islam". Jadi mereka tidak perlu berusaha keras untuk membentuk sistem pemerintahan secara musyawarah, tidak perlu menjaga kebersihan, tidak perlu mementingkan ilmu pengetahuan... ini kerana akhirnya kemenangan pasti akan memihak kepada "orang Islam" iaitu mereka.

Bagi saya, kemusnahan mana-mana kaum atau tamadun termasuk "orang Islam" atau "negara Islam" sendiri atau sesiapa sahaja akibat tidak menjalani kehidupan seperti yang diajar oleh Islam sudah memberi kemenangan kepada Islam. Apabila kebatilan terserlah, maka ia bererti kemenangan untuk kebenaran. Saya berharap umat Islam berhentilah "menunggu" kemenangan ini. Sebaliknya bertindak sekarang untuk mencapai kemenangan seperti yang dijanjikan oleh Allah kepada sesiapa yang mengambil semua aspek dalam Islam di dalam kehidupan mereka. Janganlah kita megikut jejak langkah kaum Yahudi yang merasakan kaum mereka adalah "kaum beriman" yang telah dipilih khusus oleh Allah, jadi walaupun mereka melakukan apa jua keburukan di atas dunia, sebagai "kaum beriman", mereka tetap lebih baik daripada manusia-manusia lain. Sebenarnya tanpa kita sedari, kita sangat mudah dijangkiti penyakit yang melanda umat nabi-nabi terdahulu seperti kaum Yahudi ini.

1 comment: